Friday, December 2, 2011

Apabila tiba saat itu...


‘Setiap yang hidup sudah pasti akan mati’. Ini adalah pasti. Kita tidak boleh lari dari mati. Sesungguhnya, Allah telah menetapkan kematian seseorang itu. Setelah tibanya ajal, Allah tidak akan mempercepatkan walaupun satu saat, dan Allah juga tidak akan melewatkannya walaupun satu saat.  Itu adalah janji Allah. Sejauh mana pun kita lari, mati tidak dapat dielakkan.
Pepatah Arab ada mengatakan, jika seseorang itu tidak mati dengan mata pedang, satu hari nanti, dia pasti akan mati. Ini membuktikan, kematian adalah satu perkara yang benar. Kita tidak boleh menidakkannya walaupun setinggi mana kita belajar, dan sebanyak mana harta kita.
     Mengikut Islam, setelah matinya anak Adam, perlulah disegerakan urusan jenazah. Perkara wajib perlu dilakukan bagi menguruskan jenazah terbahagi kepada empat perkara iaitu, mandi, kapan, sembahyang, dan dikebumikan. Pernahkah kita terfikir kenapa semua ini perlu dilakukan? 
Mungkin ada yang berpendapat, semua ini ialah perkara ‘amrun ta’budi’ iaitu perkara yang perlu kita terima semata-mata. Namun apa pun keadaannya, perlu ada sebab-musabab  mengapa ia perlu dilaksanakan. Jika tidak masakan ia menjadi  tuntutan fardu kifayah. Bayangkan andai tiada  sesiapa yang mahu melaksanakannya, maka akan berdosalah  seluruh masyarakat yang berada di  sekitar qariah, kawasan atau apa sahaja lingkungan keluasan  sesuatu tempat. 
     Justeru,  sekalipun hanya seorang yang  melaksanakan menunaikan  tuntutan fardu kifayah itu, maka gugurlah dosa dan tanggungjawab  masyarakat di sekitarnya.  Sekali gus membuktikan,  kewajipan  mandi, kapan,  sembahyang seterusnya menanam atau  mengebumikan mayat adalah  satu tanggungjawab  yang harus dipikul bersama.  Apa yang cuba dirungkaikan ialah mengapa ia  perlu dilaksanakan  sebagaimana  yang telah diperintahkan oleh  syariat? Berikut adalah penjelasan yang diberikan oleh  Pengerusi  Thibbun  Nabawi,  Dusuki  Abdul  Rani.  

Mandi jenazah

Setelah nyawa terkeluar dari jasad, jenazah sudah menjadi najis besar dan kotor. Ia sama seperti seorang yang berada di dalam junub. Lendir serta najis akan terkeluar dari badan si mati. Selain itu juga, semasa roh bercerai dari jasad, keadaan fizikal mayat juga menjadi cepat berbau. Rasulullah s.a.w. mengajar supaya mayat itu perlu dimandikan untuk menghilangkan bau tersebut.
        Seseorang yang mahu bertemu dengan Allah, perlu bersih dari segala kekotoran. Oleh yang demikian, Islam mengajar apabila seseorang meninggal dunia, dia perlu dimandikan dahulu sebelum bertemu dengan Allah. 

Kapan 

Setelah selesai dimandikan, mayat perlu dikapankan. Ini adalah untuk menutup aurat mayat. Aurat mayat terbahagi kepada dua iaitu aurat hak mayat dan aurat hak Allah s.w.t. Aurat hak Allah s.w.t. ialah menutup aurat dari pusat hingga ke lutut, manakala aurat hak mayat menutup seluruh badan. Mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. mayat perlu dikapankan dengan kain putih. Ia bertujuan menunjukkan kebersihan diri untuk menghadap Allah. Namun, tidak salah jika mahu dikapankan dengan kain berwarna lain atau pun bercorak. 
Pernah suatu ketika, Abdullah bin Abdullah bin Ubai bin Salul bertemu dengan Rasullullah s.a.w. Ketika ayahnya meninggal dunia, tidak ada seorang pun yang mahu mengapankan mayat ayahnya. Alasan yang diberikan, semasa ayahnya masih hidup, dia adalah penentang agama Islam. Dia juga diberikan gelaran bapa munafik. Tetapi Abdullah pula seorang yang sungguh warak.
Abdullah menangis, lalu meminta tolong kepada Rasulullah s.a.w. untuk membantu menguruskan jenazah bapanya. Lalu Rasulullah s.a.w. mengambil kain serban yang berada di atas bahunya dan diberikan kepada Abdullah. Lalu Rasulullah s.a.w. menyuruh Abdullah mengapankan mayat ayahnya dengan serban itu. Rasulullah s.a.w. meminta Abdullah balik dan menyegerakan jenazah ayahnya dan baginda akan menyusulnya selepas itu.
Baru sahaja Rasulullah s.a.w. mahu melangkah keluar dari rumah, lalu datang malaikat Jibrail a.s. melarang baginda menguruskan jenazah orang munafik. Malah baginda juga dilarang berdiri di atas kubur orang munafik.
Berdasarkan kisah di atas, tidak salah menggunakan kain kapan berwarna lain, cuma ia akan dilihat pelik dan tidak mengikut sunnah.

Sembahyang mayat

Selesai sahaja mengapankan jenazah, urusan seterusnya ialah sembahyangkan jenazah. Hal ini sebagai penghormatan terakhir untuk si mati dan bertujuan menyerahkan kembali hamba kepada pencipta-Nya. 
Solat jenazah perlu dilakukan juga disebabkan dua perkara. Pertama, ketika inilah si mati perlu dipertanggungjawabkan ke atas semua amal ibadat yang dilakukan semasa hidup dan kedua, ia  adalah tanggungjawab kepada orang yang hidup. Mereka perlu bertanggungjawab menguruskan jenazah itu. Jika tidak,  maka mereka akan berdosa. 
Sembahyang jenazah tidak ada rukuk dan sujud kerana sembahyang ini dilakukan bukan untuk menyembah si mati.  Sebaliknya ia hanya  mempunyai empat kali takbir. Takbir yang pertama, membaca Al-Fatihah. Takbir kedua memberi salam serta memuji Rasulullah s.a.w. Takbir ketiga kita mendoakan untuk si mati, dan menyerahkan kembali kepada Allah untuk dihisab. Dan takbir terakhir, ialah mendoakan kepada seluruh orang mukmin. 

Mengebumikan mayat

Proses terakhir pengurusan jenazah ialah mengebumikan jenazah. Kenapa perlu dikebumikan? Hal ini bermula dari kisah pembunuhan Habil dan Qabil. Pembunuhan pertama berlaku di atas muka bumi ini ialah sewaktu berlakunya perbalahan di antara Habil dan Qabil. Disebabkan iri hati terhadap adiknya, Qabil telah membunuh adiknya, Habil. Setelah membunuh adiknya, Qabil tidak tahu bagaimana mahu menguruskan jenazah adiknya. Berhari-hari dia berfikir bagaimanakah cara untuk menguruskan mayat itu. 
Sehinggalah pada satu hari, Allah mengutus burung gagak untuk membantu Qabil menguruskan jenazah adiknya. Semasa Qabil sedang tercari-cari jawapan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya, dia ternampak dua ekor burung gagak sedang berkelahi. Dalam pergaduhan itu, seekor gagak telah mati. Burung gagak yang hidup ini telah mematuk tanah berulang kali sehingga membentuk sebuah lubang. Setelah agak dalam, burung gagak itu menanam bangkai burung gagak yang mati itu. Dari situlah Qabil mendapat tahu, cara untuk menguruskan orang mati ialah dengan mengebumikan mayat itu.
Bertitik-tolak dari kisah itulah, Islam mengajar umatnya, apabila berlaku kematian, seseorang itu perlu ditanamkan. Tiada nas yang menetapkan kedalaman kubur. Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah meletakkan tahap kedalaman kubur. Cuma, Rasulullah s.a.w. menyatakan, kedalaman kubur itu haruslah tidak menampakkan aurat mayat, bau mayat, rasa mayat dan ‘bunyi’ mayat. Sekiranya kedalaman itu sudah memenuhi syarat, ia sudah memadai. 
Bunyi Mayat

Menutup aib mayat serta ‘bunyi’ mayat syarat yang sangat penting. Tahukah anda,  azab mayat di dalam kubur akan kedengaran sekiranya kedalaman kubur itu tidak  mencapai  ukurannya.    Biasanya, kedalaman mencecah 1.7 meter (5 kaki),  dikatakan  sudah memadai untuk  ‘menutup  bunyi  seksaan tersebut. 
              Azab kubur ini boleh didengar oleh semua makhluk, kecuali manusia dan jin. Allah sengaja menutup hijab manusia dan jin untuk mendengar seksaan kubur kerana Allah mahu menguji ketakwaan serta beribadat kepada-Nya. Sekiranya manusia mendengar azab kubur ini, nescaya mereka akan berasa sungguh takut sehinggakan mereka hanya mahu beribadat sahaja kepada Allah. Mereka akan lupa untuk makan dan minum disebabkan takut dengan azab seksa kubur. 
Timbul persoalan, sekiranya tidak mahu azab kubur didengar, bukankah lebih baik sekiranya mayat itu dibakar? 
Dusuki menjelaskan, syarat mengurus jenazah ialah dikebumikan. Jika dibakar, ia telah melanggar syariat. Selain itu juga ia akan menyeksa mayat. Bukankah manusia itu dicipta dari tanah? Setelah roh kembali kepada pencipta-Nya, kembalikanlah jasad itu kepada asalnya.
Mayat yang hilang tanpa jejak sekalipun akan dikembalikan ke tanah. Sekiranya mayat itu hilang di laut atau pun di makan  haiwan buas,  keempat-empat langkah ini tetap dilakukan oleh malaikat. Cuma kita tidak tahu di mana mayatnya disemadikan.
“Seksa azab kubur memang menakutkan. Persiapan menghadapi mati sangat-sangat penting. Marilah sama-sama kita selami diri dan bertanya, adakah kita sudah mengumpul bekalan untuk menghadapi hari kematian?
“Rasulullah s.a.w. mengajar kita supaya sentiasa mengingati mati. Paling kurang 40 kali sehari. Sekiranya kita memikirkan tentang kematian serta azab di dalam kubur, sudah pasti kita akan bersungguh-sungguh beribadat kepada Allah. Selain itu, cara untuk mengingati mati ialah melihat kubur orang mukmin supaya kita nampak akhirat. Di tanah perkuburanlah tempat terbaik untuk mendapat iktibar untuk pedoman diri,”ujarnya. 


Persediaan hadapi mati   

              Menurut kata Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang, mursyid Imam  Muda   Musim  Pertama  juga merangkap pendakwah bebas, saat hidup di dunia ini adalah saat yang paling mencabar dan penting. Cabaran demi cabaran perlu dihadapi untuk menghimpun bekalan akhirat. Nabi Muhammad s.a.w. juga pernah berkata, beramallah untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati pada esok hari, dan beramallah untuk dunia, seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. 
             Hal ini menunjukkan, Nabi Muhammad s.a.w. menyuruh kita memperbanyakkan bekalan akhirat kerana akhirat  itulah yang kekal abadi. Manakala, semasa hidup ini, carilah harta tetapi janganlah terlalu melampau sehingga lupa pada akhirat. Perkara ini sangat jelas, persediaan untuk menghadapi mati sangat penting.
             Tambah Syed lagi, untuk mengingati mati, kita perlu menghilangkan lazat dunia. Kita takut menghadapi mati disebabkan kita terlalu cinta dengan harta dan keseronokan dunia. Sekiranya kita boleh menghilangkan keseronokan dan cinta kepada dunia ini, sudah pasti, kita akan nampak keindahan untuk menghadapi kematian.
               Para alim ulama pun selalu memfokuskan mengenai kematian. Kehidupan dunia hanyalah sementara. Harta yang banyak, kekayaan, kesihatan tubuh badan, hanyalah pinjaman dari Allah semata-mata. 
              “Setelah mati jasad hancur dimamah bumi.  Harta benda juga diwariskan kepada mereka yang hidup. Hanya harta yang berguna iaitu, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, serta anak-anak yang soleh akan menjadi penyambung pahala  secara berterusan. Tiga perkara ini sahajalah yang boleh dibawa ke alam barzakh nanti.
            “Selain itu juga, kita selalu mengharapkan saat kematian yang baik seperti mati pada hari Jumaat dan juga mati di masjid. Tetapi kita terlupa tentang cara hidup yang baik. Walhal perkara pokoknya ialah cara kehidupan serta amalannya turut diambil kira,”katanya. 

Pilih kubur anda
     
              Corak serta bentuk fizikal kubur juga tidak menjamin kebaikan apabila menghadapi azab kubur. Apa yang penting adalah amalan yang dibawa. Walaupun seseorang itu membina kubur yang cantik serta diletakkan dalam kalangan ahli keluarga,  belum tentu memberi ketenangan.
              Justeru, Rasulullah s.a.w. menggalakkan kita supaya memilih tempat untuk kita disemadikan. Bagi orang Melayu, kita lebih suka disemadikan bersebelahan kubur ahli keluarga yang lain. Hal ini adalah kerana, kita tidak mahu diasingkan dari ahli keluarga yang lain. Walhal semua itu tidaklah memberikan sebarang kesan. Cuma lebih menyenangkan ahli keluarga yang hidup untuk menziarahi kubur ahli keluarga yang telah meninggal kerana ia berada satu tempat. 
              Menurut Dusuki dalam kitab ‘Ziarah ke alam barzakh’ tulisan Imam Jalaludin As-Suyuthi, mengatakan, sekiranya mahu memilih tempat disemadikan, pilihlah ditanam bersebelahan kubur alim ulama ataupun kubur kanak-kanak. Ini kerana, apabila berada di sebelah kubur mereka, kita akan mendapat manfaat dari mereka. Disebabkan ketenangan kubur mereka, akan memberikan tempias sama kepada kubur bersebelahan. Umpama kita duduk sebelah orang yang memasang penghawa dingin. Apabila duduk di sebelahnya, kita juga terasa kesejukannya.
             Tambah Dusuki lagi, orang dahulu sering membuat tanah perkuburan bersebelahan dengan masjid. Semua itu bersebab. Setiap kali masuknya waktu azan, si mati yang berada di dalam kubur akan menumpang kebahagiaan. Mereka berasa seronok dan tenang bila mana mereka mendengar suara bacaan al-Quran dan juga zikir-zikir dialunkan. Sebab itulah Islam menggalakkan memilih tempat untuk disemadikan.
             “Islam juga menyarankan kita memberi salam sewaktu melintasi tanah perkuburan. Mereka berasa sangat seronok menerima salam dari kita yang masih hidup.
            “Sekiranya diberi peluang untuk memilih tempat disemadikan, pilihlah kawasan perkuburan Baqi’ di Madinah.  Kawasan perkuburan ini dijanjikan dengan syafaat Nabi Muhammad s.a.w. ,”ujarnya.
              Dari Aisyah r.a. berkata, “Nabi s.a.w. pada tiap malam gilirannya bersamaku, baginda keluar pada tengah malam ke kuburan Baqi’ lalu berkata, “Assalamualaikum penghuni perkampungan Islam, nanti pada waktu yang telah ditentukan kamu akan menemui apa yang dijanjikan. Dan Insya-Allah kami akan menyusul mu di belakang. Ya Allah berilah ampunan bagi ahli kubur Baqi’ yang berbahagia ini.” (Hadis Riwayat Muslim)
                 Hadis tersebut menggambarkan, orang yang ditanam di perkuburan Baqi’ mendapat keamanan daripada azab kubur. Maulana Zakaria, pengarang kitab Fadhail Amal antara ulama dalam jemaah tabligh juga telah dikebumikan di kubur Baqi’, bersebelahan kubur Imam Malik.
                Imam Malik meriwayatkan, kira-kira 10 ribu sahabat dan ahli keluarga Rasullullah s.a.w. disemadikan di perkuburan Baqi’. Antaranya ialah  Fatimah binti Rasulullah, Hasan bin Ali, Abbas bin Abdul Muttalib, Jaafar as-Sodiq, Ruqayyah binti Rasulullah, Ummu Kalthum binti Rasulullah, Zainab binti Rasulullah dan Ibrahim bin Rasulullah s.a.w.
               Begitu juga para isteri baginda seperti Aisyah binti Abu Bakar, Sauda binti Zam’ah, Hafsah binti Umar, Zainab binti Khuzaimah, Ummu Salamah binti Abu Umayyah, Juwairiyyah binti al-Harith, Ummu Habibah, Safiyyah binti Huyai dan Zainab binti Jahsyh.
              Selain itu pula, antara sahabat-sahabat  terkemuka yang dikebumikan di kawasan ini ialah Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqqas, Fatimah binti Asad (ibu Sayyidina Ali), Sayyidina Uthman bin Affan, Abu Said al-Khudri, Saad bin Muaz, Abdullah bin Mas’ud dan ramai lagi.
             Cuba bayangkan betapa tenangnya kawasan perkuburan ini. Kebanyakan mereka yang disemadikan di situ ialah orang yang beriman kepada Allah. 
     Ujar Dusuki lagi, sekiranya seseorang yang kufur semasa hidupnya dan ditanam bersebelahan orang yang beriman atau alim ulama, maka terseksalah roh orang yang alim itu. Setiap masa mereka akan mendengar jeritan dan juga tangisan ketika roh orang kufur diseksa. Roh mereka juga tidak tenang. Disebabkan itulah, kita disuruh memilih tanah perkuburan. 

Membaca al-Quran di kawasan perkuburan  

              Terdapat percanggahan pendapat mengenai isu membaca al-Quran di atas kubur.  Hukum membaca al-Quran untuk dihadiahkan pahalanya kepada orang yang telah meninggal dunia adalah harus menurut jumhur ulama, tetapi makruh menurut ulama mazhab Malik.
              Menurut seorang ulama besar mazhab Syafi'ie, Ibn Daqiq al-Id,  dalam kitabnya Ihkam al-Ahkam, orang yang telah mati boleh mengambil manfaat daripada bacaan al-Quran yang dibaca di atas kuburnya. Katanya,  sekiranya tasbih pokok-pokok kayu boleh berfaedah kepada orang mati, maka bacaan al-Quran oleh manusia tentu lebih berfaedah lagi.
            Menurut Ibn Qudamah pula, ulama mazhab Hanbali, bacaan al-Quran di atas kubur akan sampai kepada si mati. Ini berdasarkan riwayat Ahmad dalam Musnad, yang mengatakan, apabila seseorang masuk ke kubur maka bacalah ayat al-Kursi, al-Ikhlas tiga kali, kemudian doakan, ‘Ya Allah sampaikan pahalanya kepada si mati.’
             Selain itu, Al-Qaliyubi seorang ahli fiqah as-Syafi'ie yang terkenal, dalam kitabnya Syarah Minhaj al-Talibin menjelaskan, sesiapa membaca surah al-Ikhlas 11 kali kemudian dihadiahkan pahalanya kepada orang mati, nescaya diampuni dosanya kira-kira sebanyak bilangan orang yang telah meninggal dunia. Hal ini menunjukkan, tidak salah membaca al-Quran di tanah perkuburan, cuma, jangan jadikan kawasan perkuburan sebagai tempat ibadat.
     
Membina binaan di atas kubur.

Nabi Muhammad s.a.w. melarang membina binaan di atas kubur. Menurut Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari menerusi kitab Sabil al-Muhtadin,  haram membuat sesuatu binaan di atas kubur seperti kubah, rumah atau pagar, kerana bumi ini diwakafkan kepada semua orang Islam. 
              Riwayat Abu al-Hayyaj al-Asadi menyatakan, Ali bin Abu Talib bertanya saya, “Sukakah kamu pergi ke tempat yang aku pernah diutus Rasulullah s.a.w. pada suatu ketika dahulu? Baginda bersabda, “Apabila kamu berkunjung ke negeri itu, musnahkan patung dan berhala. Jangan biarkan kubur-kuburnya menjadi tinggi. Ratakannya hingga ke paras menyamai bumi.”  Imam at-Tirmizi mengulas hadis itu, katanya, berdasarkan riwayat ini, ulama Islam tidak suka paras kubur ditinggikan dari paras bumi.
Selain itu juga, Imam as-Syafie dalam kitab fiqh sunnah, melarang kubur ditinggikan melebihi sejengkal iaitu setinggi 7 inci, dan beliau melarang kubur diletakkan dengan bahan binaan. Kata Imam as-Syafie, “Aku menyaksikan kubur para sahabat memang tidak ditinggikan.” Hal ini tiada pengecualian. Kubur para sahabat juga tidak diletakkan atau dibina bahan binaan yang cantik-cantik.
Berdasarkan hadis ini, jelas menunjukkan,  membina rumah di atas kubur adalah amalan yang bertentangan dengan kehendak agama Islam. Ini kerana tanah kubur yang diwakafkan itu juga akan digunakan untuk orang lain apabila tiba masanya.
               Senario ini banyak berlaku di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Tanah perkuburan sudah dipenuhi setiap tempat. Sekiranya terdapat binaan yang besar, sudah tentu ia tidak dapat dialihkan dan akan menjadi pertelingkahan dengan ahli keluarga si mati apabila mahu dialihkan. Sekali gus menyukarkan untuk disemadikan jenazah orang lain. Disebabkan hal inilah, Islam sangat-sangat melarang pembinaan di atas kubur.
              Sedarlah tanah kubur bukanlah hak peribadi. Ia adalah milik semua orang Islam. Pembinaan bangunan di atas kubur akan menyempitkan kawasan perkuburan serta akan membuatkan kawasan menjadi terhad.
     
Meletakkan batu sungai.

                Sekiranya mahu membuat juga binaan sebagai penanda, memadailah dengan meletakkan batu sungai dan juga ‘belendang’ yang boleh diubah supaya jika satu hari nanti, tanah kubur mulai padat, binaan yang dibuat boleh dialihkan untuk kegunaan orang lain.  
Orang Melayu kita selalu meletakkan batu sungai, atau pun batu hidup di atas kubur sebagai penanda. Selain itu, batu sungai ini digunakan sebagai pengganti pelepah kelapa. Tujuannya supaya ia bertasbih serta memohon keampunan untuk si mati. Namun,  pelepah kelapa digantikan dengan batu sungai disebabkan batu sungai tidak akan layu.  Hal ini berdasarkan hadis Rasullullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Bukhari.
Rasulullah s.a.w. melewati dua kuburan. Lalu baginda berkata, “ Kedua-dua ahli kubur ini sedang diazab Tuhan, meskipun bukan kerana dosa besar. Rasulullah s.a.w. lalu meletakan di atas kedua-dua kubur itu pelepah kurma yang masih hijau sambil berdoa, sesungguhnya kedua-dua pelepah kurma itu, Insya-Allah, akan meringankan azab mereka sehingga pelepah itu kering.”
Jika diperhatikan  hadis tersebut, perbuatan menaburkan atau meletakkan bunga, daun atau apa sahaja daripada tumbuhan berdaun dibolehkan lalu berdoa ke hadrat Allah agar diringankan seksa si mati selama ia belum kering seperti mana yang dilakukan oleh Nabi. Itu sunnah. Tetapi, menanam pokok di atas kubur sehingga pokok itu hidup subur agar mengharapkan seksaan si mati diringankan, tidak ada sumbernya.
Tetapi, ada juga percanggahan pendapat mengenai hal ini. Imam Bukhari, dalam kitab Fiqh Sunnah, membantah apa jua hujah untuk berbuat demikian kerana tidak ada kaum salaf yang melakukan demikian. Tetapi, meletakkan batu atau pun pelepah kelapa tidak menyalahi syariat Islam.